KUALA LUMPUR: Satu rangka manusia yang lengkap berkemeja-T biru, bersinglet putih dan berseluar jeans biru ditemukan di kawasan belukar di bawah jambatan Jalan Persiaran Putra, Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata polis menerima laporan penemuan rangka dipercayai lelaki warga Indonesia itu daripada pekerja yang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan sistem LRT di substesen Putra Height pada 12.15 tengah hari.

"Pemeriksaan pada bahagian seluar telah menjumpai satu dompet yang mengandungi dua keping kad pengenalan diri warga Indonesia. Nama yang tertera ialah Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan beralamat di Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata satu beg galas hitam turut dijumpai bersebelahan si mati yang mengandungi barang-barang keperluan diri seperti pakaian, disyaki milik si mati.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, mendapati berkemungkinan semasa kejadian (mangsa mati) di antara tiga hingga enam minggu lepas," katanya.

Beliau berkata rangka tersebut telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya kepada Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Azlan berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun kerana disyaki mencuri dua tumbler Starbucks bernilai RM500 di sebuah pasar raya di Subang jaya, semalam.

Katanya hasil soal siasat mendapati suspek juga disyaki terlibat dalam kes mencuri baju sukan bernilai RM2,060 di pasar raya yang sama pada 15 Okt lepas, pada kira-kira 10 pagi selain memiliki satu rekod lampau kes curi.

Wan Azlan berkata susulan tangkapan itu, pihaknya merampas 26 helai baju serta 10 helai seluar sukan berjenama Nike dan Adidas di kediaman suspek di Bandar Sunway dan suspek kini direman sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah tersebut supaya tampil memberi kerjasama dengan menghubungi nombor 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya)," katanya.

-- BERNAMA